Harimau Dahan Juvana Berjaya Dikeluarkan Dari Kawasan Kampung Di Ranau

Harimau Dahan juvana diangkat oleh seorang renjer WRU selepas ditembak dengan ubat penenang. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Hidupan Liar

KOTA KINABALU: Seekor harimau dahan juvana berjaya ditangkap dan dikeluarkan dari kawasan Kampung Perancangan di Ranau oleh Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar Sabah (WRU) hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengucapkan tahniah kepada unit berkenaan yang diketuai oleh Dr Sen Nathan atas tindakan pantas menangkap binatang terlindung itu.

Jelasnya, ini telah mengelakkan potensi konflik antara haiwan dan manusia serta menyelamatkan ternakan orang kampung daripada menjadi mangsa harimau dahan tersebut.

Christina berkata perkara tersebut telah dilaporkan kepadanya oleh Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Kelibat harimau dahan juvana itu mula-mula dilhat oleh seorang guru, Albinus, lebih kurang dua hari lalu yang kemudiannya dilaporkan kepada ketua kampung seterusnya ke Jabatan Hidupan Liar.

Harimau Dahan diberi rawatan. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Hidupan Liar

Pasukan WRU tiba di Kampung Perancangan kelmarin dan selepas mendapat maklumat tambahan daripada ketua kampung dan Albinus, mereka mula memasang perangkap dan juga berjaga di kawasan berhampiran pada waktu malam.

Pada jam 3.45 pagi tadi, harimau tersebut dikesan sedang membawa seekor ayam dimulutnya dan cuba masuk ke kawasan hutan berhampiran kawasan perkampungan.

Dr Sen kemudian berjaya menembak harimau tersebut dengan ubat penenang (tranquiliser).

Menurut Christina, pemerhatian mendapati harimau dahan itu berumur kurang dari 12 bulan dan berada dalam keadaan kurang sihat berdasarkan badannya yang agak kurus.

Harimau dahan juvana yang ditangkap selepas ditembak dengan ubat penenang di meja rawatan. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Hidupan Liar

“Dipercayai harimau dahan ini terpisah daripada ibunya dan tersesat. Terdapat beberapa laporan sebelum ini harimau dahan dikesan dalam kawasan Poring,” katanya.

Harimau dahan juvana itu kemudian dibawa ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk diberi rawatan selanjutnya pada hari ini juga.

“Selepas dirawat sehingga kesihatan pulih semula, kita merancang untuk memindahkan harimau dahan ini ke kawasan hutan terlindung di sebelah pantai timur,” katanya.

Christina turut memberi penghargaan kepada ketua kampung Perancangan serta masyarakat setempat atas kerjasama dalam memulihara hidupan liar negeri ini dan berharap ianya akan menjadi contoh kepada kampung lain di Sabah.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada NGO, Orangutan Appeal UK yang telah menyumbangkan tiga buah kereta pacuan empat roda kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah baru-baru ini.

Kenderaan tersebut telah membantu operasi WRU di Kampung Perancangan Ranau.

SabahNewsToday