Kerajaan Sabah Mahu Penstrukturan Semula ESSCOM Disegerakan

TAWAU: Kerajaan Sabah mahu penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dengan penstrukturan semula itu akan membolehkan ‘Chain of Command’ dapat diperhalusi dan diperkemaskan.

Beliau berkata, kedudukan ESSCOM dan isu keselamatan sentiasa diberi perhatian berikutan beberapa siri kejadian penculikan di negeri ini, termasuk yang terbaru di kawasan perairan Tambisan dekat Lahad Datu, semalam.

“Kita memang sedia maklum ancaman penculikan ini bukan asing di Sabah kerana sebelum ini pun beberapa kejadian sama pernah berlaku.

“Perkara ini (kes penculikan) sudah saya suarakan di peringkat Pusat bagi mencari kaedah bagaimana untuk menanganinya selain memperkasakan pasukan keselamatan yang ada,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Warisan Sabah (WARISAN) Tawau dan Kalabakan di Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berharap penempatan anggota pasukan keselamatan dapat ditambah, terutama di daerah yang terdedah dengan risiko penculikan seperti di Lahad Datu yang terletak paling hampir dengan negara jiran, Filipina.

“Anggota pasukan keselamatan, aset dan kelengkapan ketenteraan yang ada pada hari ini masih tidak mencukupi,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2 pagi semalam, seramai 10 kru bot nelayan dilarikan kumpulan penjenayah rentas sempadan di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu.

Mangsa yang disahkan bukan warga tempatan itu dikatakan menaiki dua bot bersama enam lagi kru sebelum didatangi kumpulan penjenayah yang kemudian melarikan menggunakan bot laju ke arah perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *