Pindah Kekuatan ATM Lok Kawi Ke Lahad Datu – Shafie

Pindah kekuatan ATM Kem Lok Kawi ke Lahad Datu

TAWAU: Kerajaan Pusat didesak supaya memindahkan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Lok Kawi ke Pantai Timur, khususnya di Lahad Datu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata gesaan itu sudah dimaklumkan kepada kepimpinan pusat berikutan ancaman lanun yang masih berlaku.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditemui dalam sidang media Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan P.190 Tawau dan P.191 Kalabakan

“Bukan ada lanun di sana (Kota Kinabalu), yang ada ancaman ini di Lahad Datu, Semporna dan Tawau,” katanya, yang percaya masanya sudah tiba untuk pemindahan itu.

 Shafie berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Warisan Sabah Parlimen Tawau dan Parlimen Kalabakan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kepentingan di Pantai Timur khususnya seperti di Lahad Datu bukan hanya melibatkan keselamatan rakyat dan pelancong, tetapi juga pelabur.

“Saya akan bertemu dengan sebuah syarikat pelabur yang berminat melabur dalam bidang hiliran baja bernilai kira-kira RM13 bilion pada hari esok (Khamis),” katanya.

 Menurutnya, aspek keselamatan di Pantai Timur dilihat lebih memerlukan untuk sebuah kem tentera kerana ancaman yang ada bukanlah perkara asing kerana sering melanda.

“Kita harap dapat ditingkatkan usaha untuk menempatkan bilangan anggota yang benar-benar diperlukan kerana anggota yang ada (sekarang masih) tidak mencukupi.

“Kita minta supaya ada kelengkapan kemudaha dan saya juga sudah minta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya jangan letak kapal di Kota Kinabalu.

“Buat apa berpusing di Kota Kinabalu? Berpusinglah di sini (Pantai Timur) yang amat memerlukan (kehadiran bot pasukan keselamatan memantau perairan negara),” katanya.

Menyentuh penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pula, Ahli Parlimen Semporna itu berharap perkara terbabit dapat dipercepatkan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *