Sabah Terajui Carta Liga Perdana, Benam PDRM Di Stadium Hang Jebat

Pemain dan pengurusan pasukan Sabah ceria selepas menewaskan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, sebentar tadi. NSTP/Nazri Abu Bakar.

Sabah bangkit atasi PDRM

MELAKA: Sabah bangkit pada masa kedua mengatasi pasukan PDRM 2-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, di sini, sebentar tadi.

Dalam aksi malam tadi, skuad The Cops yang menguasai 45 minit saingan pertama berjaya mencipta jaringan pendahulu menerusi sepakan percuma Lee Chang Hoon pada minit ke-32.

Sepakan pemain Korea itu berpunca tindakan pertahanan lawan menjatuhkan Patrick Ronaldinho di luar kotak penalti yang menyaksikan rembatan kencangnya tepat ke jaring sebelah kiri gawang Sabah.

Sabah kemudian bertindak balas menerusi Jenius Karib tiga minit selepas itu, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Mohd Shahril Saari.

Sebelum babak pertama berakhir skuad The Cops turut melakukan percubaan untuk menambah jaringan, namun tandukan Argzim Redzovic sedikit tinggi melepasi palang gol Sabah.

Memasuki babak kedua menyaksikan anak buah jurulatih Jelius Ating bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Rodoljub Paunovic pada minit ke-76.

Dan selang empat minit kemudian, Sabah memastikan mata penuh di bawa pulang dari Stadium Hang Jebat apabila tandukan Alto Linus menggegarkan jaring tuan rumah untuk keputusan muktamad 2-1. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *