Taktik dashboard tak menjadi

GAMBAR menunjukkan pemuda dari Afrika ini bersembunyi antara papan pemuka dan enjin kereta. FOTO EPA

MELILLA, SEPANYOL: Polis sempadan Sepanyol terkejut apabila menemui seorang pemuda bersembunyi di dalam papan pemuka kereta dalam usaha untuk menyeludup masuk ke Eropah melalui pintu sempadan di sini.

Mail Online melaporkan, polis sempadan Sepanyol memeriksa tiga kenderaan dalam tempoh tiga jam di Beni-Enzar di Maghribi, pintu sempadan untuk masuk ke Melilla.

GAMBAR menunjukkan pemuda dari Afrika ini bersembunyi antara papan pemuka dan enjin kereta. FOTO EPA

Pemeriksaan pada kereta pertama, polis terkejut apabila menemui seorang pemuda berusia 20 tahun bersembunyi di dalam papan pemuka kereta yang terletak berhampiran dengan enjin.

Di kereta kedua pula, polis menemui seorang lagi pemuda berusia 20 tahun yang bersembunyi di dalam tempat duduk belakang kereta.

Seorang lagi pemuda ditemui di satu kedudukan bahaya di dalam sebuah trak.

Polis berkata, ketiga-tiga pendatang dari Afrika itu menunjukkan tanda-tanda kelemasan, pening dan sakit pada anggota badan kerana berada terlalu lama di tempat yang sempit.

Tiga lelaki warga Maghribi yang memandu kenderaan terbabit turut ditahan dan didakwa atas tuduhan menyeludup manusia.

Sindiket penyeludupan manusia sebelum ini melakukan pelbagai taktik dalam usaha untuk membawa pendatang masuk ke Eropah melalui pintu sempadan Sepanyol dan Maghribi itu.

Pada Januari lalu, polis menemui dua lelaki yang bersembunyi di dalam tilam yang diletakkan di atas sebuah kereta.

Seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditemui kelemasan akibat kepanasan selepas bersembunyi di antara papan pemuka dan enjin kereta pada 2017. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *