JAKARTA: Misteri kemunculan hantu pocong yang menakutkan penduduk di daerah Mulyoharjo, Pemalang, Jawa Tengah sejak beberapa hari lalu akhirnya terbongkar selepas polis menangkap seorang remaja berusia 15 tahun yang memakai kain putih.
Kompas.com melaporkan, remaja itu yang hanya dikenali sebagai Am, memakai kain putih seperti pocong dan menakutkan penduduk yang mengerjakan solat tarawih sehingga menjelang sahur.
Ketua Polis Pemalang, Ketut Mara berkata, pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada penduduk selepas pocong berkenaan dilihat berkeliaran di satu jalan raya sejak beberapa hari lalu.
“Berdasarkan laporan itu, polis Pemalang dan unit Sabhara melakukan rondaan dan menemui ‘hantu’ itu di jalan raya pada awal pagi semalam ketika cuba menakut-nakutkan orang ramai.
“‘Hantu’ itu cuba melarikan diri tetapi kami berjaya tahan. Selepas diperiksa kami dapati ‘hantu’ itu adalah seorang remaja berusia 15 tahun yang menyamar.
“Remaja itu tidak didakwa sebaliknya diberi nasihat dan teguran memandangkan dia di bawah umur,” kata Ketut, sambil menambah tindakan remaja itu boleh membahayakan pemandu.
Ketika ditanya pemberita, remaja itu mengaku dia sengaja berpakaian seperti pocong untuk suka-suka.
“Saya menyesal dan berjanji tidak akan melakukannya lagi,” katanya. – Agensi