Bersatu Sabah perlu kerja kuat

Hajiji ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersatu Sabah di Dewan Hikmah, Masjid An-Nur Tuaran

TUARAN: Kepimpinan bahagian-bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah perlu bekerja kuat untuk memastikan parti itu disokong dan diterima oleh rakyat, kata Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, sebagai sebuah parti yang baru bertapak di Sabah, adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan bahagian dan juga sayap-sayap Bersatu untuk menjelaskan sejelasnya perjuangan parti kepada rakyat.

HAJIJI (empat dari kiri) bersama Rina (tiga dari kiri), Rafiq (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada anak-anak yatim di majlis itu.

“Semua kepimpinan Bersatu Sabah perlu bekerja kuat bagi mengembangkan pengaruh parti di seluruh negeri agar Bersatu menjadi parti yang kuat di bumi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersatu Sabah di Dewan Hikmah, Masjid An-Nur Tuaran, pada Khamis.

Majlis itu dihadiri oleh kepimpinan Bersatu seluruh Sabah dan Labuan, termasuk Ketua Srikandi Bersatu Malaysia Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, Timbalan Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Ketua Srikandi Bersatu Sabah Datuk Hajah Azizah Mohd. Dun dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Sabah Mohd. Isquzaean Israq Arsit.

Hajiji yang juga Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tuaran berkata, sambutan daripada rakyat terhadap Bersatu amat menggalakkan, termasuk golongan profesional seperti doktor, peguam dan lain-lain.

“Ini menunjukkan Bersatu yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohamad diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat pribumi di Sabah.

“Justeru, saya berharap pemimpin Bersatu bahagian agar bersikap ‘inklusif’ dan membuka ruang kepada semua yang berminat menyertai parti ini terutama golongan muda.

“Jangan sekali-kali jadikan parti ini untuk diri kita dan puak-puak kita sahaja,” tegasnya.

Hajiji menegaskan, matlamat Bersatu ialah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Gunakanlah pendekatan yang disukai rakyat, supaya mereka sentiasa menyokong kita dan sekaligus akan menjadikan Bersatu sebuah parti politik yang terkuat di Sabah, satu masa nanti,” tambahnya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *