Kerajaan Sabah teruskan pembangunan walau tohmahan, fitnah dilempar

SEMPORNA, 24 Mei – Kerajaan Sabah di bawah pemerintahan Parti Warisan Sabah dengan kerjasama Pakatan Harapan serta UPKO akan terus berusaha melaksanakan pembangunan negeri ini meskipun banyak tohmahan serta kritikan yang bersifat menjatuhkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelbagai kaedah dilakukan pihak tertentu, misalnya baru-baru ini mengaitkan dirinya sebagai pengeluar kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

“Walaupun dalam bulan yang baik (Ramadan), mereka memfitnah, saya dilabel sebagai pengeluar kad pengenalan, mana ada saya kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan, kalau saya ada kuasa, sudah beribu kad pengenalan keluar di Semporna.

“Tetapi saya bukan ada kuasa, yang berkuasa Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Pusat bukan Kerajaan Sabah, bukan Ketua Menteri,” katanya ketika berucap pada majlis iftar ramadan bersama Ketua Menteri Sabah di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu berharap, masyarakat tidak percaya kepada fitnah berkenaan.

“Kalau itu fitnah jangan pula manusia mendengar, jangan pula manusia percaya bahawa ini (perbuatan), walaupun benar atau tidak, jangan kita mendengar sehingga kita buat penelitian secara mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, katanya usaha pembangunan di semua daerah di Sabah akan dapat dimajukan dan ditingkatkan berdasarkan perancangan yang dilakukan.

“Apa yang penting, pemerintahan kita lakukan ada perubahan dari sebelumnya (kerajaan lama), kita mampu melaksanakan, cuma ketika ini kita menghadapi kekangan kewangan untuk membawa pembangunan menyeluruh,” katanya.

Pada majlis iftar itu seramai 4,000 orang menerima sumbangan daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Yayasan Semporna.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *