‘Ya, sudah siap jahit bang…’

Yew Sin (kiri) melihat dagu Ee Yi yang berdarah. FOTO BWF

TEWAS kepada pilihan utama, Jepun 0-3 di suku akhir memang sudah dijangka namun pujian harus diberikan kepada pemain beregu lelaki negara, Teo Ee Yi apabila tetap meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan luka di bahagian dagu.

Berbeza dengan sukan seperti bola sepak, hoki dan ragbi, jarang sekali pemain badminton mengalami kecederaan sehingga luka dan darah mengalir di bahagian muka.

Bagaimanapun, itu yang berlaku terhadap Ee Yi dalam aksi pertama ketika berdepan gandingan nombor dua dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Dagu pemain kelahiran Johor ini berdarah sehingga memaksa pasukan perubatan masuk ke dalam gelanggang untuk memberi rawatan susulan.

Kecederaan itu berpunca selepas rakan gandingan Ong Yew Sin secara tidak sengaja tersepak mukanya ketika kedua-dua pemain cuba untuk menyambut pukulan pemain lawan.

“Ya, sudah siap jahit bang,” kata Ee Yi ketika dihubungi Arena Metro selepas perlawanan berakhir.

Pemain berusia 26 tahun itu dirawat hampir 10 minit dan perlawanan yang disiarkan secara langsung itu dengan jelas memperlihatkan darah mengalir dari bahagian dagu sehingga ke leher Ee Yi.

Selepas menerima rawatan Ee Yi tampil semula ke dalam gelanggang dengan bahagian dagunya berbalut namun mereka tumpas 21-13, 24-26, 21-23.

“Saya berasa sakit apabila tewas kepada pasangan Jepun,” kata Ee Yi yang mengesahkan mendapat lima hingga enam jahitan di bahagian dagu.

Selepas mendapat mata berharga itu, Jepun menggunakan kelebihan menurunkan jaguh perseorangan lelaki dan wanita mereka, Kento Momota dan Nozomo Okuhara untuk menghantar Malaysia pulang awal.

Momota yang juga pemain nombor satu negara, mengalahkan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, 21-18, 21-16. Okuhara yang menghuni ranking kedua dunia pula mengalahkan Soniia Cheah, 21-16, 21-13. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *