Jawatankuasa bencana alam daerah diarah untuk berjaga-jaga

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Jawatankuasa bencana alam seluruh daerah di Sabah diarah untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan mengarahkan jawatankuasa bencana alam daerah untuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku banjir kilat dalam kawasan masing-masing.

Banjir kilat di kawasan jalanraya, tempat letak kereta dan bulatan Hospital Queen Elizabeth. – Foto Media Sosial

“Pastikan kesemua pusat pemindahan sementara sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan jika. perlu pastikan segala bekalan makanan, air bersih dan kemudahan-kemudahan lain mencukupi,” katanya.

Beliau mahu pihak berkuasa sentiasa siap siaga untuk memberi bantuan kepada mangsa yang perlu dipindahkan dan unit penyelamat harus bersedia untuk digerakkan dalam tempoh singkat.

Memandangkan sekarang adalah bulan ramadan, bantuan harus diberikan dengan cepat supaya tidak menyusahkan mangsa, katanya.

Mohd Shafie turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan parit-parit di kawasan mereka tidak sumbat sebagai antara langkah pencegahan.

“Saya menasihatkan kepada mereka yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah kepada banjir kilat supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Ini akan memudahkan mereka berpindah ke kawasan lebih tinggi dengan segera,” katanya.

Hujan lebat pada petang Khamis telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa tempat. Keadaan cuaca hujan berterusan sehingga Jumaat malam.

Jabatan Cuaca Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan serta ribut petir di kawasan Pantai Barat Sabah dan pedalaman sehingga malam tadi.

Keadaan laut bergelora di perairan barat Sabah di jangka berterusan sehingga jam 3 pagi hari ini.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *