Tiga daripada lima calon akan mengundi esok

BENDERA-BENDERA parti yang dipasang sepanjang Jalan Buli Sim-Sim memeriahkan lagi suasa dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan

SANDAKAN: Tiga daripada lima calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan mengundi di tiga pusat mengundi berlainan, di sini, esok.

Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah.

Dua lagi calon Bebas iaitu bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat dan bekas pengurus operasi syarikat kelapa sawit, Chia Siew Yung masing-masing dijangka mengundi di Sekolah Menengah (SM) Yu Yuan dan SK Sungai Anib 1, antara jam 8 pagi hingga 9.30 pagi esok.

Difahamkan, dua lagi iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan calon Bebas, Hamzah Abdullah tidak mengundi kerana berdaftar sebagai pemilih di Parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) di Sabah dijangka menemani tiga anaknya untuk mengundi di SM Yu Yuan, jam 8.30 pagi esok.

PRK Parlimen Sandakan yang diadakan susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt menyaksikan seramai 39,684 bakal mengundi dalam PRK itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Lim Ming Hoo.

Proses pengundian esok membabitkan 19 pusat mengundi dan 90 saluran yang dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berita Harian

246