Gatok, ketua geng curi motosikal dan kereta diburu

Gatok (kiri), Jamal (tengah) dan Budak yang diburu polis. – Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU, 10 Mei – Polis di sini sedang giat memburu seorang lelaki, Arthur Julian Abit yang dikenali sebagai Gatok kerana dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal dan kenderaan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata Gatok, seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan serta dalang dalam kes curi motosikal dan kenderaan yang aktif sejak penghujung 2018.

Katanya tiga Geng Gatok berumur antara 20 hingga 39 tahun telah ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Inanam pada 25 April hingga 2 Mei lepas, masing-masing dua warga Filipina tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala seorang lelaki warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan curi kereta sekitar 2011 hingga 2017.

“Geng Gatok ini terdiri daripada empat lelaki, yang mana, tiga daripadanya telah ditangkap dan seorang lagi lelaki iaitu dalang dalam kes ini dikenali dengan nama Gatok masih bebas dan orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya mengenali, terjumpa atau terserempak dengan suspek.

“Dengan tangkapan tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 hingga 15 kes curi kenderaan di sekitar Kota Kinabalu khususnya di Inanam. Polis turut merampas dua motosikal dan dua kereta yang dilaporkan hilang di sekitar Kota Kinabalu dan Inanam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Habibi berkata hasil siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek ditahan itu dipercayai terlibat dengan lima kes curi motosikal dan empat kes curi motokar di sekitar Kota Kinabalu sejak penghujung tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Dalam kes berasingan, Habibi berkata, polis menahan dua daripada empat lelaki warga Filipina berumur antara 38 hingga 46 tahun dipercayai anggota Geng Wahid yang terlibat dalam kes curi kenderaan di Tawau dan sekitar Kota Kinabalu.

Katanya polis turut merampas sebuah kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih dengan nombor pendaftaran palsu serta beberapa peralatan mencuci kereta ditemui di dalam kenderaan terbabit.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berkenaan dipercayai terlibat dengan 12 kes curi kenderaan dan lain-lain iaitu enam kes di Kota Kinabalu, empat kes di Penampang dan masing-masing satu kes di Papar dan Tawau sejak pertengahan 2018, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Habibi berkata satu kes samun dilaporkan berlaku di sebuah bank di Inanam melibatkan seorang mangsa wanita berumur 35 tahun bersama anaknya berumur 10 tahun yang sedang ingin mengeluarkan wang di mesin ATM pada 6.15 pagi tadi.

Habibi berkata mangsa yang juga guru tadika telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali memakai topi yang bertindak mengugut untuk mencederakan anak mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa jenama Hyundai Getz bernombor MAY6800 beserta wang tunai RM50 dan dokumen pengenalan diri di dalam beg tangan mangsa.

Orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya ternampak kereta dilaporkan hilang itu, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *