PRK Parlimen Sandakan: Pengundian awal bermula

ANGGOTA Polis Marin Malaysia menunggu giliran pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membabitkan seramai 270 anggota polis, bermula jam 8 pagi tadi di dua pusat pengundian.

Pusat pengundian itu ialah Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan yang dibuka hingga jam 2 petang membabitkan 170 pengundi awal, dan Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 lagi pengundi hingga jam 12 tengah hari.

ANGGOTA Polis Marin Malaysia yang telah selesai mengundi menunjukkan jari mereka berdakwat kekal di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidinprevnext

Proses pengundian awal itu disaksikan setiap ejen calon dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR turut menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook suruhanjaya itu.

Parlimen Sandakan ada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tanjong Papat dan Elopura, dengan sejumlah 40,131 pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

ANGGOTA Polis Marin Malaysia, Koperal Siti Hadiah Maria ketia mengundi di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidin

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus adalah pengundi Cina dan 45 peratus lagi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala wanita pula 20,274 orang atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu, dengan yang pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, disusuli DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin; dan tiga calon Bebas.

Calon Bebas pula ialah bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan, Chia Siew Yung; dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *