Apa dosa anak saya

JENAZAH Seba di samping ibu saudaranya sebelum dikebumikan di Gaza, kelmarin. – EPA

GAZA: Seba, kanak-kanak perempuan Palestin berusia 14 bulan terbunuh bersama ibu saudaranya di Gaza, kelmarin.

Ibunya, Rasha Abu Arar, 27, mengangkat tangannya yang cedera mengesat air mata mengenang kembali tragedi mengorbankan anaknya itu yang berlaku berikutan ketegangan antara Palestin di Gaza dengan Israel menyebabkan 24 penduduk Palestin dan empat rakyat Israel terbunuh.

“Saya bersama beberapa sepupu dan anak mereka berada dalam rumah apabila tiba-tiba roket mengenai rumah kami.

“Saya segera memeluk Seba bagi melindunginya namun serpihan roket mencederakan tangan saya dan menembusi tubuh Seba,” kata wanita yang sedang hamil itu sambil menahan esak menceritakan kejadian kepada Al Jazeera.

Menurutnya, seorang lagi anak perempuannya, Rafeef yang berusia tiga tahun juga cedera.

“Apa dosa anak-anak saya? Adakah mereka membaling roket kepada Israel?” kata wanita beranak enam itu.

Ibu saudara Seba, Falisteen, 37, yang sedang hamil anak ke-10, terbunuh akibat cedera di leher.

“Sedih tidak tergambar melihat anak-anak yatim ini yang masih kecil. Bagaimana mereka mahu meneruskan hidup tanpa ibu?” kata ibu Falisteen, Fatma.

Ketegangan bermula Jumaat lalu, selepas Israel mendakwa tembakan penembak hendap Islamic Jihad menyebabkan dua tenteranya cedera. Israel kemudian melancarkan serangan udara membunuh dua pejuang Hamas.

Hamas dan Islamic Jihad kemudian membedil ratusan roket ke wilayah Palestin, dianggarkan sehingga 600 roket yang dibalas Israel dengan serangan udara, bedilan kereta kebal serta bedilan kapal perang dari laut.

Israel mengebom lebih 200 sasaran, termasuk kemudahan tentera Hamas. Dua bangunan tinggi Gaza musnah dengan satu daripadanya, al-Khuzendar, ranap sepenuhnya.

AFP melaporkan, pemimpin Palestin di Gaza menyetujui gencatan senjata dengan Israel semalam, bagi menamatkan pertempuran dua hari itu yang boleh mencetuskan perang.

Jurucakap tentera Israel enggan mengulas mengenai gencatan senjata itu namun menurut wakil AFP do Gaza, bedilan roket atau serangan udara Israel sudah berhenti.

Menurut jurucakap Hamas dan Jihad Islamic, gencatan senjata itu ditaja Mesir dan pegawai Mesir mengesahkan persetujuan itu.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *