Lelaki parah ditikam di kepala, badan

Gambar Hiasan

KENINGAU: Seorang lelaki parah dipercayai ditikam di kepala dan belakang badan oleh rakannya akibat perselisihan faham ketika membincangkan hal keluarga di Kampung Pagar Hitam, Jalan Masak, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3.10 petang, kedua-duanya yang menyewa bilik di sebuah rumah di kampung itu dikatakan berada di dalam bilik suspek, manakala penyewa lain keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata mangsa dan suspek dikatakan berbincang mengenai hal keluarga sebelum berlaku perselisihan faham sehingga tercetus pertengkaran mulut.

“Suspek didakwa tiba-tiba mengambil sebilah pisau di bahagian dapur lalu melibas ke arah mangsa dan berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian didakwa menikam bahagian belakang dan kepala mangsa. Kedua-dua tangan mangsa turut luka.

“Melihat keadaan mangsa yang terbaring dengan berlumuran darah, suspek didakwa terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 36 tahun kemudian meminta bantuan sebelum beberapa jiran datang membantu membawanya ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, usaha mengesan suspek berusia 50 tahun sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *