Penduduk Kg Lingkabungan Satu dakwa ditipu ketua kampung

JAITI (tengah) bersama rakan-rakannya menunjukkan laporan polis yang dibuat.
JAITI (tengah) bersama rakan-rakannya menunjukkan laporan polis yang dibuat.

KOTA KINABALU: Sekumpulan penduduk Kampung Lingkabungan Satu mendakwa telah ditipu dalam urusan pelantikan jawatan ketua kampung.

Wakil Penduduk Kg Lingkabungan Satu Jaiti Molubin berkata, individu yang kini bergelar ketua kampung menipu penduduk yang buta huruf untuk menandatangani satu surat persetujuan bagi pelantikan jawatan itu.

“Kandungan surat itu menyatakan kami bersetuju, tetapi itu adalah palsu sebab kami tidak pernah menandatangani surat persetujuan seumpamanya, tidak pernah berbincang dan tidak pernah menyokong.

“Senarai nama yang menandatangani surat itu kebanyakan berada di Semenanjung Malaysia dan Kota Kinabalu. Ini adalah penipuan kedua oleh individu yang bergelar ketua Kampung Lingkabungan Satu,” katanya ketika ditemui di sini.

Jaiti berkata, penipuan pertama oleh individu terbabit adalah memalsukan tandatangan penama dalam geran komunal dengan peserta seramai 60 orang melibatkan tanah seluas 900 ekar di kampung yang sama.

Katanya, penipuan itu dilakukan untuk tujuan menjual kayu balak dalam kawasan tanah geran komunal tanpa pengetahuan pemilik dalam geran itu.

“Kedua-dua kegiatan ini sudah dilaporkan di Balai Polis Kota Marudu pada 20 Jun tahun lalu.

“Saya juga menyeru kepada kerajaan sekarang agar memecat ketua Kampung Lingkabungan Satu kerana menipu penduduk,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *