Isu Ternak PATI Masalah Diwarisi Dari Kerajaan UMNO, BN – Azis Jamman

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman

PENAMPANG: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman memberi jaminan penyelesaian isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah akan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan sekali-kali memberi kerakyatan kepada PATI. Apa yang kerajaan usahakan sekarang adalah ingin mencari penyelesaian mengatasi masalah individu tidak berdokumen yang ada di negeri ini.

”Apa juga keputusan yang dibuat, ia akan dibuat secara telus dan rakyat akan tahu apa yang kita lakukan dalam menangani isu PATI ini supaya ianya dapat diselesaikan secara menyeluruh,” katanya.

Mohd Azis, yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, parti itu sering dikaitkan dengan isu menternak PATI. Isu itu adalah masalah yang diwarisi daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno terdahulu.

”Masalah yang perlu dipikul Presiden Warisan dan Kerajaan Negeri ini adalah masalah yang diwarisi Kerajaan BN, yang menternak PATI ini bukan kita tetapi kerajaan dahulu.

”Kini, kita terpaksa bekerja keras untuk memastikan masalah ini dapat dibersihkan dan diselesaikan.

Bot nelayan sarat dengan penumpang termasuk PATI ditahan berhampiran Pulau Berhala ketika cuba keluar secara haram menuju ke Filipina.

”Orang yang melemparkan dakwaan terhadap Warisan itu tidak sedar dan tidak ingat bahawa mereka adalah penyebab kepada masalah yang dihadapi hari ini,” katanya dalam ucapan perbahasannya sempena Persidangan Agung Tahunan Warisan 2019, di sini pada Ahad.

Mohd Azis juga mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli parti supaya bersatu bagi berdepan dengan musuh politik sebenar yang berada di luar.

Katanya, pemilihan di dalam parti yang berlangsung hanya persaingan kekeluargaan sesama ahli parti maka, jangan biarkan ia menyebabkan parti berpecah-belah jika kecundang dalam pemilihan.

”Kita perlu berganding tangan mengeratkan ukhuwah yang ada bagi berdepan dengan musuh politik sebenar. Musuh sebenar kita adalah pembangkang di luar sana. Kita harus bermuafakat untuk berdepan dengan pembangkang.

Pihak Imigresen membuat operasi di Kampung Gentisan, Sepanggar pada tahun lepas. Pendatang asing disini memang sudah lama meninggal di Sabah sejak Barisan Nasional memerintah.

”Atas sebab itu, saya nasihatkan ahli-ahli yang berjaya dalam pemilihan supaya jangan sombong dan bangga dengan jawatan yang ada hingga lupa dengan matlamat sebenar parti untuk membela nasib rakyat,” ujarnya.

Mohd Azis berkata, kecundang dalam pemilihan adalah lumrah politik namun, jangan pernah lupa tujuan sebenar penubuhan Warisan. Parti ini ditubuhkan bukan untuk kepentingan peribadi, tiada individu lebih bersar berbanding perjuangan parti.

Dalam pada itu, beliau juga memberi peringatan kepada Wira Warisan supaya memikul amanah sebagai ahli parti dan tidak berebut jawatan seperti yang dipesan oleh Presiden Warisan.

”Tiada gunanya kita berebut jawatan jika akhirnya parti hancur berkecai. Maka, kita harus pegang amanah yang diberi demi kesinambungan parti,” jelasnya.

Dalam membela nasib belia pula, Wira Warisan memberi jaminan untuk menyokong parti dalam memastikan usaha membangunkan golongan belia di Sabah dapat dilaksana dengan sebaiknya.

”Kita diukur berdasarkan apa yang kita janjikan sebelum ini. Banyak jelajah yang kita sudah jalankan sebelum ini dan kita akan cuba merealisasikan setiap janji dalam manifesto kita,” jelasnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *