Pembagunan Lebih Banyak Hotel Bantu Tingkat Kemudahan Pelancongan

Ketua Menteri di majlis pecah tanah Hotel Hyatt Centric di Kota Kinabalu pada Ahad.

OKOTA KINABALU: Pelaburan dalam sektor hospitaliti seperti pembinaan hotel di negeri ini diyakini akan meningkatkan lagi keupayaan Sabah dalam memenuhi keperluan pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pelaburan yang bernilai lebih RM270 juta dalam pembinaan hotel yang dibangunkan Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad itu dilihat akan membantu menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan bagi memenuhi keperluan sektor pelancongan di Sabah.

“Pembangunan yang dilaksana sektor swasta sebegini amat dialu-alukan. Projek sebegini memperlihatkan usaha kerajaan Sabah amat serius dalam membangunkan negeri ini,” katanya semasa perasmian Majlis Pecah Tanah Hotel Hyatt Centric, di sini pada Ahad.

Artist impress of the exterior of Hyatt Centric Kota Kinabalu.

Hotel lima bintang itu akan diuruskan oleh Hyatt Hotels Corporation.

Beliau berkata, pembinaan lebih banyak hotel di Sabah ini bukan hanya akan memenuhi keperluan sektor pelancongan sebaliknya akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.

Katanya, kehadiran pelancong yang ramai ke Sabah memerlukan negeri ini meningkatkan keupayaan kemudahan pelancongan agar pelancong akan datang kembali ke Sabah.

Pada tahun lalu sebanyak 3.8juta pelancong berkunjung ke Sabah dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 4juta pada tahun ini.

Mohd Shafie berkata, kedudukan hotel setinggi 22 tingkat yang akan menempatkan 220 bilik itu begitu strategik di tepi laut dan berhampiran dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Apabila SICC itu siap dan mula beroperasi, hotel ini pasti akan menerima pengunjung yang ramai sekiranya ada persidangan antarabangsa yang dianjurkan di situ.

Menurutnya, kerajaan pimpinan Warisan sentiasa bersifat terbuka dalam menerima pelabur yang ingin melakukan pelaburan di Sabah.

Atas sebab itu, kerajaan sentiasa membantu mempermudahkan kelulusan Pelan Pembangunan bagi membolehkan pelabur melaksana projek mereka di negeri ini. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *