Pelancong Australia kurang ajar!

RAKAMAN sekumpulan lelaki Australia bertindak biadap di jalan raya di Bali, Indonesia.

SYDNEY: Sekumpulan lelaki Australia dikecam, termasuk oleh penduduk negara mereka kerana melakukan perbuatan kurang ajar yang amat biadap apabila berbogel, mengeluarkan kata-kata kesat serta kencing kecil di jalan raya di Bali, Indonesia.

Menurut laporan new.com.au yang memetik 7News, perbuatan keji mereka dirakam pemandu pelancong kumpulan lelaki terbabit dan dimuat naik ke Snapchat Sabtu lalu.

Rakaman video itu menunjukkan lima lelaki yang kelihatan mabuk itu kencing di khalayak ramai serta merosakkan harta benda.

Seorang daripada lelaki mengeluarkan kata-kata kesat memaki penduduk tempatan.

Pada satu ketika dalam rakaman itu, beberapa daripada lelaki terbabit berbogel sepenuhnya dan berlari di sepanjang jalan.

“Lakukan dengan berbogel. Kamu perlu melakukannya dengan berbogel atau tidak kelakar,” seorang daripada mereka kedengaran menjerit.

Rakaman video itu kini dikongsi dalam kalangan kumpulan pemandu pelancong Bali di Facebook yang menjadi tumpuan pelancong.

“Binatang bodoh. Burukkan nama Australia, jijik,” kata satu komen.

“Halau mereka pulang. Amat keji,” kata komen lain.

“Siarkan nama biar mereka malu. Bodoh. Mereka tidak wajar dibenarkan keluar Australia lagi,” kata satu lagi komen.

Ada pelancong di Bali berpendapat kumpulan lelaki itu perlu memohon maaf terhadap perbuatan yang memalukan penduduk Australia itu.

Ross Taylor dari Institut Indonesia di Australia Barat, memberitahu 7News: “Ia adalah penghinaan kepada penduduk Australia.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *