Budak gua Thailand terima RM387,544 setiap seorang

AHLI pasukan bola sepak Wild Boards bersama jurulatih, Ekapol Chantawong. FOTO EPA

BANGKOK: Kisah 12 budak lelaki dan seorang jurulatih yang terperangkap di dalam gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, utara Thailand selama 17 hari akan difilemkan dan disiarkan di Netflix.

Netflix yang akan menerbitkan filem kisah 12 remaja yang terperangkap selama 17 hari dalam gua di selatan Thailand pada Jun 2018, membayar tiga juta baht (RM387,544) kepada setiap seorang remaja terbabit.

Daily Mail melaporkan, Netflix yang juga menyumbang kepada agensi terbabit dalam usaha menyelamatkan remaja berkenaan, mengumumkan persetujuan itu Selasa lalu, selepas beberapa bulan berunding dengan Kementerian Kebudayaan Thailand.

Netflix bekerjasama dengan syarikat penerbit filem Crazy Rich Asians untuk menghasilkan filem berkenaan namun tidak menyatakan tarikh projek itu akan dimulakan.

Kementerian Kebudayaan Thailand yang mengumumkan persetujuan dengan Netflix itu buat pertama kali pada Mac lalu, menyatakan filem itu berkonsep siri.

Jurucakap kerajaan Thailand, Weerachon Sukoondhapatipakat kemudian dipetik sebagai berkata, setiap ahli keluarga mangsa akan menerima tiga juta baht (RM387,544).

Penolong jurulatih bola sepak, Ekapol Chanthawong yang turut terperangkap bersama remaja terbabit berkata, dia dan pasukannya teruja untuk menceritakan pengalaman mereka ke seluruh dunia.

“Kami gembira bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kisah kami diberitahu dengan tepat agar dunia sekali lagi mengiktiraf wira yang terbabit dalam operasi menyelamat,” katanya.

Remaja terbabit berusia antara 11 hingga 16 tahun manakala jurulatih mereka berumur 25 tahun.

Jon M Chu, pengarah Crazy Rich Asia dan penerbit filem Thailand, Nattawut ‘Baz’ Poonpiriya akan mengarahkan filem berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *