PAS sokong PBS demi kepentingan peribumi


Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang

MARANG: Sokongan PAS terhadap calon Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan didakwa dibuat atas semangat memperkukuh blok pembangkang dan masyarakat peribumi.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata pembangkang akan memastikan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin menang dalam pertembungan lima penjuru bagi membela nasib penduduk peribumi di negeri itu.

Katanya, sokongan terhadap PBS juga bagi menentang budaya dan semangat fanatik perkauman dibawa DAP, yang merosakkan konsep masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita perlu memperkuatkan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak kerana kita lihat DAP semakin ekstrem terhadap masyarakat itu.

“DAP lebih semangat fanatik perkauman. Itu ada dalam DAP. Jadi budaya itu kita kena lawan. Kita hidup masyarakat majmuk tidak boleh ada sifat antikaum,” katanya.

PRK Parlimen Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan antara calon DAP, PBS dan tiga calon bebas.

Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu mendiang Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akan dicabar Linda Tsen yang juga Naib Presiden PBS dan tiga lagi calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

PRK Parlimen Sandakan diadakan susulan kematian Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mendiang Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo.

Ditanya adakah keputusan PAS itu selari dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, PAS menjalin hubungan secara bertaawun dengan UMNO dan tidak berhak menentukan keputusan calon mana harus disokong parti itu.

“UMNO dan PAS berhubungan secara bertaawun, secara kerjasama, bukan dalam satu pakatan yang PAS boleh tentukan keputusan untuk mereka,” katanya. – Berita Harian

337