Tunjuk Bukti Atau Hajiji Sekadar Pemimpin Kedai Kopi – ADUN Merotai

SARIFUDDIN HATTA

OKOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor dicabar menunjukkan bukti atas tuduhan beliau kononnya kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi dokumen kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

ADUN Merotai, Sarifuddin Hata berkata, tuduhan berkenaan sangat tidak berasas dan mencemarkan imej kerajaan negeri walaupun banyak perbincangan telah dilakukan sebelum ini bagi setiap persoalan yang timbul.

Sarifuddin berkata, Hajiji perlu membuktikan tuduhan tersebut jika tidak beliau hanya layak digelar sebagai pemimpin kedai kopi kerana terlalu mudah percaya kepada fakta-fakta yang tidak tepat.

“Perkara ini sudah dijelaskan termasuk di dalam Dewan Rakyat apabila ditanya oleh pembangkang iaitu kerajaan mahu menyelesaikan masalah penduduk tanpa negara kerana di Sabah contohnya ada orang Filipina berkahwin dengan rakyat tempatan tetapi tiada surat kahwin jadi anak mereka warganegara asing.

HAJIJI

“Ini tiada kaitan tentang isu PATI sebab kalau PATI langkah kerajaan jelas iaitu mana-mana PATI kita tangkap dan hantar balik sama seperti minggu ini sebanyak 552 PATI telah dihantar pulang, langkah ini berterusan,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Baru-baru tular sebuah video berdurasi dua minit 54 saat di media sosial yang menunjukkan Hajiji berucap dalam satu program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan mendakwa kerajaan negeri memberikan dokumen kepada PATI.

Sarifuddin berkata, Hajiji perlu sedar bahawa kebanjiran PATI bukannya sejak Warisan memerintah sebaliknya masalah yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun.

Beliau turut mempersoalkan di mana peranan Hajiji semasa menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dalam menangani PATI apabila Jawatankuasa Teknikal Menangani PATI yang ditubuhkan BN sebelum ini dan dipengerusikan bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hanya pernah bersidang sekali.

“Takkanlah bila Warisan memerintah tiba-tiba sahaja kebanjiran PATI di Sabah, selama ini ada jawatankuasa tetapi kenapa satu kali sahaja bersidang.

JAMAWI JAAFAR

“Kementerian Hajiji dulu berkaitan dengan masalah setinggan, di situ banyak PATI jadi mungkin sekarang baru dia sedar masalah PATI sebab selama ini dia tidak buat apa-apa langsung,” tegasnya.

Sementara itu, ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar turut mendesak Ketua Penyelaras Bersatu Sabah itu menunjukkan bukti jika tidak tuduhan tersebut hanyalah satu fitnah kepada kerajaan.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana Hajiji tidak hadir, namun tiba-tiba tampil membuat tuduhan.

“Siapa yang bagi dokumen kepada PATI. Buktikan kalau kerajaan negeri ada bagi, ini tidak ikhlas. Tidak hadir sidang DUN sedangkan banyak kita bincangkan dalam DUN.

“Kerajaan negeri tiada kuasa keluarkan dokumen kepada PATI cuma bantu daripada segi perundangan seperti kerajaan penyamun tarbus buat dulu-dulu, saya sudah minta Hajiji buktikan jika tidak itu satu fitnah,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *