Warga emas gagal dapat PPR

SITIHARA Arsad tinggal bersendirian di bilik sewa berukuran kira-kira tiga meter panjang dan dua meter lebar ketika ditemui di Jalan Bunga Botan. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Tidak mahu membebankan sanak saudara, seorang wanita warga tua mengambil keputusan tinggal bersendirian dengan menyewa sebuah bilik kecil di Jalan Bunga Botan, di sini.

Cuma bertemankan seekor kucing dipanggil Merah, warga tua itu, Sitihara Arsad, 67, mengambil keputusan menyewa bilik yang berukuran kira-kira tiga meter panjang dan dua meter lebar selepas permohonan bagi mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak berhasil.

Di ruang sempit berkenaan, ia menjadi tempat tidur, memasak dan bersolat Sitihara sejak empat bulan lalu dengan sewa RM160 sebulan, termasuk air dan bekalan elektrik.

Ketika ditemui BH, Sitihara yang berasal dari Kampung Suan Lamba, Kinabatangan, berkata dia menetap di Sandakan sejak sekian lama dan pernah berkahwin, namun berpisah dengan suami kira-kira 18 tahun lalu serta tidak mempunyai anak.

Katanya, dia pernah bekerja di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai tenaga pengajar bagi kelas dewasa buta huruf dan bersara sejak lebih 15 tahun lalu.

“Bukan keluarga tidak bantu, tapi saya tidak mahu susahkan mereka. Saya memohon lebih lima kali untuk dapatkan PPR di sini, tapi tidak berjaya dengan alasan saya tiada suami, tiada anak dan tiada slip gaji.

“Selepas itu, saya cuba mohon dapatkan bantuan bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk dibina di tanah arwah bapa di Kampung Suan Lamba pada pilihan raya lalu, tapi mungkin terhenti selepas kerajaan bertukar,” katanya.

Sitihara berkata, dia kini bergantung terhadap bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan bantuan zakat sebanyak RM200 sebulan untuk menampung kehidupan seharian dan rumah.

Katanya, beliau juga pernah memohon untuk memasuki Rumah Warga Tua, namun ditolak kerana baru berumur 52 tahun ketika itu.

“Apa yang saya harapkan supaya permohonan saya untuk mendapatkan PPR atau PPRT diluluskan supaya saya boleh tinggal dalam keadaan lebih selesa.

“Bantuan yang saya perolehi setiap bulan boleh saya guna untuk bayar sewa,” katanya. – Berita Harian

231