Kerajaan PH bersih – Guan Eng

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng mengadakan program tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Pasar Umum, hari ini. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan bersih yang akan memastikan setiap ringgit dibelanjakan, dapat dilihat hasilnya oleh rakyat tanpa berlaku ketirisan, penyelewengan, salah laku dan amalan rasuah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, rakyat akan dapat melihat perbezaan pembangunan yang dibuat dengan bersih untuk kesejahteraan mereka.

“Kita berharap rakyat akan menikmati perubahan ketara ini, iaitu pembangunan yang ‘bersih’,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Pasar Umum, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai pembangunan di Sandakan, Guan Eng berkata, hanya selepas peralihan kerajaan, pembangunan di bandar ini dapat dilaksanakan berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan projek untuk membesarkan Lapangan Terbang Sandakan, membaiki lif Hospital Duchess of Kent yang rosak serta menaik taraf blok hospital itu.

Sementara itu, Guan Eng menafikan pemilihan Shir Yee sebagai calon DAP adalah kerana populariti mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya lalu.

Beliau berkata, pemilihan Shir Yee adalah kesinambungan dan warisan perjuangan mendiang bapanya yang perlu diteruskan, malah wanita itu juga tidak asing bagi pengundi di kawasan Parlimen Sandakan.

“Apa salahnya kita memilih seorang aktivis yang dekat dengan rakyat dan secara kebetulan adalah anak perempuan mendiang. Sekiranya kita hendak meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang baik, saya rasa itu adalah pilihan yang baik,” katanya. – BERNAMA

173