Malim gunung, porter antara 10 pemenang Maraton Borneo

(DARI kiri) Sapirin Sumping, Daved Simpat dan Safrey Sumping bergambar bersama selepas tamat Larian Borneo International Marathon, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang berlangsung hari ini. – Foto Olivia Miwil

KOTA KINABALU: Malim gunung dan porter antara 10 pemenang terbaik bagi kategori lelaki acara larian 42 kilometer dalam program Larian Maraton Antarabangsa Borneo, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang berlangsung hari ini.

Sapirin Sumping, 39, berjaya mencatat rekod masa 3:01:31 dan berada di tempat kelima manakala rakannya, Daved Simpat, 37, berada di kedudukan ketujuh dengan catatan masa 3:06:09.

Sementara itu, adik Sapirin, Safrey, 36, berjaya menamatkan larian itu dengan catatan masa 3:22:24 dengan kedudukan di tangga ke sembilan.

Dua beradik yang menyertai acara tahunan itu mengakui perlumbaan itu kali ini dilihat lebih mencabar dan laju.

Menurut Safirin, pekerjaan mereka sebagai malim gunung dan porter banyak membantu dalam latihan bagi mempersiapkan diri menyahut cabaran maraton kali ini.

“Bekerja sebagai malim gunung dan porter di gunung turut membantu dalam latihan untuk maraton kali ini.

“Kami mengambil masa selama 10 minggu untuk mempersiapkan diri dari segi ketahanan diri dan kepantasan,” katanya ketika ditemui di tempat di Stadium Likas di sini.

Terdahulu, seramai 10,686 peserta larian daripada 41 negara mengambil bahagian bagi kategori penuh, separuh, 10 kilometer dan tiga kilometer.

Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarsin Taib; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman; Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi; duta UNICEF Malaysia, Lisa Surihani; wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh dan Presiden Kelab Larian Kinabalu, Datuk Dr Heng Aik Cheng. – Berita Harian

115