Meninggal dunia sebelum sempat tamatkan larian

Pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa selepas jatuh pengsan di tepi jalan tidak jauh dari kawasan penamat di Stadium Likas . FOTO Ihsan Polis

PESERTA yang menyertai Larian Borneo International Marathon di Kota Kinabalu hari ini, tidak sempat menamatkan lariannya apabila jatuh pengsan sebelum disahkan meninggal dunia tidak jauh dari garisan penamat.

Difahamkan, Bitah Sabenting, 56, sempat diberi bantuan pernafasan (CPR) sebaik didapati jatuh pengsan kira-kira 200 meter dari kawasan penamat iaitu di Stadium Likas.

Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia pada 8.58 pagi oleh pegawai perubatan selepas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HEQ2) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa bersama keluarganya datang dari Kota Belud untuk menyertai acara itu yang bermula 4.30 pagi.

“Pelepasan bagi acara larian 10 kilometer bermula jam 6 pagi dari Stadium Likas ke Bulatan Pelabuhan hingga Bulatan Masjid Bandaraya dan kembali semula ke Stadium Likas.

“Pada 7.45 pagi ketika menghampiri penamat di Stadium Likas iaitu di tepi jalan Kompleks Sukan Likas, mangsa tiba-tiba jatuh dan terus pengsan.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menunjukkan unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematiannya.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensi QEH 1 untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *