UMNO Sabah Akan Bantu PBS Pada PRK Parlimen Sandakan

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan memainkan peranan membantu ‘rakan pembangkang’, Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Pengerusinya yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata selaku blok pembangkang, Umno Sabah tidak keberatan untuk menghulur bantuan sokongan kepada PBS.

Katanya secara lisannya beliau sudah berhubung dengan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan telah menyatakan persetujuan dengan bantuan sokongan oleh Umno Sabah pada PRK Sandakan.

“Kita akan bincangkan lebih lanjut dengan pemimpin PBS untuk menentukan mekanisme gerak kerja yang boleh memberi manfaat kepada blok pembangkang PBS pada PRK Sandakan,” katanya kepada Bernama di sini.

Bung Moktar berkata terdapat 9,000 ahli Umno dan pengundi di Parlimen Sandakan yang sudah dikenal pasti termasuk tempat tinggal mereka.

Katanya UMNO Sabah telah mula mengadakan siri lawatan ke rumah ahli Umno berkenaan dan maklumkan kepada mereka untuk keluar mengundi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan parti pembangkang lain ini khususnya di negeri ini merupakan dasar terbuka yang diamalkan oleh Umno Sabah.

“Pada kami mana-mana parti sekiranya ingin bekerjasama dan memberi manfaat kami tidak menolak,” katanya.

PBS meletakkan naib presidennya Datuk Linda Tsen Thau Lin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Sapi sebagai calon dalam PRK Sandakan.

Sementara itu DAP pula mencalonkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak mendiang anggota Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt.

Tiga calon Bebas iaitu mantan Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung juga turut serta menjadikan PRK Parlimen Sandakan pertandingan lima penjuru.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Tarikh hari mengundi ialah pada 11 Mei.

Terdapat 39,856 pengundi biasa di Parlimen Sandakan, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.-SabahNewsToday

188