Keselamatan Di Tawau, Sandakan Terkawal

SEMPORNA: Masyarakat di Sabah khususnya daerah Tawau dan Semporna diharap supaya tidak bimbang berikutan kenyataan bahawa kumpulan Daesh menjadikan kedua-dua daerah itu sebagai transit keluar atau masuk ke Selatan Filipina dan Myanmar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata walaupun daerah itu dijadikan transit namun keadaan masih terkawal dan selamat memandangkan pihak penguatkuasa sentiasa perketatkan keselamatan di kedua-dua daerah itu.

“Saya berharap masyarakat di Sabah khususnya daerah Tawau dan Sandakan tidak bimbang kerana anggota kita sudah menjalankan tugas mereka untuk mengesan pengganas setiap masa.

“Dengan adanya Pasukan Petugas Khas (Task force), mereka mampu mengesan militan IS dan Daesh yang menggunakan Sabah sebagai transit,”.katanya ketika ditemui di Acara Sukan Laut dan Perarakan Lepa Cantik sempena Pesta Regatta Lepa Jubli Perak yang diadakan di Dataran Lepa, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa mengambil perhatian terhadap kedua-dua daerah berkenaan termasuk beberapa daerah lain di Pantai Timur Sabah.

“Beberapa tangkapan atau sindiket dadah terbesar kita sudah lakukan di daerah pantai timur seperti Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Tawau.

“Memang ada pasukan yang kita tempatkan untuk menangani IS dan Daesh termasuk sindiket dadah yang jadikan pantai timur sebagai tempat mereka menjalankan kegiatan mengedar ke seluruh tempat di Sabah dan negara luar,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan kumpulan Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan sebagai transit untuk masuk ke Selatan Filipina serta Rakhine Myanmar.

Katanya, Daesh menjadikan kedua-dua kawasan itu sebagai lokasi baharu mereka di Asia Tenggara selepas kedudukan mereka tergugat dalam serangan tentera bersekutu di Iraq dan Syria.

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa membuat pemantauan rapi berhubung isu ini dengan melakukan tangkapan terhadap individu yang masuk ke Selatan Filipina dari semasa ke semasa.

Kumpulan ini bukan sahaja daripada kalangan warga tempatan malah turut dilakukan warganegara Indonesia dan negara lain di sekitar Asia Tenggara. –SabahNewsToday

216