PRK Sandakan: PBS Sudah Memerintah 23 Tahun Tapi Gagal

Datuk Shafie Apdal berucap disidang media selepas penamaan calon bagi PRK Sandakan pada Sabtu

OKOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) telah diberikan peluang selama 10 tahun memerintah Sabah secara bersendirian dan 13 tahun lagi di dalam Barisan Nasional (BN), namun parti itu terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tempoh 23 tahun itu cukup lama untuk membawa pembangunan ke Sabah termasuk termasuk Sandakan tetapi sehingga kini rakyat negeri ini masih terhimpit dengan masalah peluang pekerjaan yang terhad.

Justeru katanya, pengundi di Parlimen Sandakan perlu mengundi calon DAP, Vivian Wong, 30, kerana beliau bukan sahaja mewakili parti kerajaan kini, malah seorang tokoh muda yang berpendidikan, bijak dan mampu membantu menyelesaikan masalah pembangunan dan peluang pekerjaan yang kurang di Sandakan.

“Apa yang penting ialah menyelesaikan masalah rakyat, PBS dalam kerajaan 10 tahun dan 13 tahun bersama BN tetapi apa yang telah mereka lakukan.

“Saya tidak fikir PBS mampu selesaikan masalah rakyat, mereka pernah memerintah tetapi gagal begitu juga dengan BN,” kata Mohd. Shafie selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua hari ini.

Calon DAP, Vivian Wong bersama Datuk Shafie Apdal dan pemimpin lain

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supian mengesahkan lima calon akan bertanding dalam PRK 11 Mei depan.

Calon DAP, Vivian ditentang oleh calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Calon-calon Bebas tersebut ialah bekas Pengerusi Amanah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan, Chia Siew Yung, 45, dan bekas aktivis politik, Sulaiman Abdul Samat, 36.

Mohd. Shafie berkata, masalah yang dihadapi rakyat Sabah ketika ini bukan berpunca daripada kerajaan sekarang tetapi disebabkan kegagalan pentadbiran rejim sebelum ini.

“Rakyat meletakkan harapan kepada kita, kerajaan sekarang baru sembilan bulan takkan nak salahkan kita sedangkan mereka sudah perintah lebih 20 tahun.

Penyokong PBS berkumpul di pekarangan SMJK Tiong Hua.

“Berikan kami peluang, kami ada calon baharu, darah muda, semangat baharu inilah yang kita akan wakilkan mewakili kerajaan Sabah membawa suara rakyat di peringkat Pusat,” katanya.

Menurut Mohd. Shafie, jika PBS bermegah dengan sokongan lima parti termasuk dari Semenanjung, beliau mengingatkan pihak lawan bahawa DAP juga diperkuatkan dengan gandingan lima parti iaitu Warisan, UPKO, Amanah, PKR serta Bersatu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak alpa dan terlalu yakin sebaliknya bekerja keras sepanjang kempen ini untuk menarik sokongan pengundi.

“Saya ingatkan supaya tidak leka dan alpa, jangan terlalu yakin tetapi kita perlu bertungkus lumus.

“Rakyat dahagakan pembangunan takkan Bebas boleh lakukannya dalam empat tahun tetapi dengan ada suara mewakili kerajaan barulah dapat direalisasikan,” jelas beliau. – BorneoToday

418