Seramai 37 Ditangkap, Dadah Bernilai RM7,680 Dirampas

Anggota Bahagian Jenayah Narkotik menuju ke salah satu lokasi operasi membanteras penyalahgunaan dadah

KOTA KINABALU: Seramai 37 orang termasuk lapan warga asing ditangkap dalam beberapa operasi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang dijalankan sekitar Pusat Bandaraya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Kinabalu bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah yang bermula pada 20-26 April itu dijalankan sekitar kawasan Kampung (Kg) Suang Parai, Kg Pulau Penampang, sekitar Inanam, Kg Cenderamata Likas dan sekitar pusat bandaraya.

Katanya, tangkapan itu melibatkan rampasan dadah keseluruhan seberat 156gram ganja dan 8.80gram dadah jenis syabu yang bernilai kira-kira RM7,680.

Antara mereka yang ditahan dalam operasi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah sekitar Kota Kinabalu

Daripada 37 yang ditahan, 29 orang adalah warga tempatan manakala lapan orang warga asing. Kesemua mereka berusia antaa 14 hingga 55 tahun.

Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, usaha membanteras penyalahgunaan dadah itu dipertingkatkan dengan adanya Ops Tapis yang dijalankan sebanyak 18 kali sepanjang minggu serta Ops Sarang di kawasan Kg Suang Parai Penampang dengan kejayaan lima tangkapan penagih dikehendaki bagi mengekang masalah dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

”Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat sekitar bandaraya ini.

”Pihak polis menghargai maklumat yang disalurkan orang ramai dan kami berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti jenayah yang berlaku sekitar Kota Kinabalu,” jelasnya. – BorneoTioday

223