Pertandingan 5 penjuru pada PRK Parlimen Sandakan

PRK Parlimen Sandakan, 11 Mei depan, bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara PBS dan tiga calon Bebas. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan, bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

DAP diwakili oleh Vivian Wong Shir Yee, iaitu anak bongsu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang memenangi kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Shir Yee akan berdepan saingan daripada Naib Presiden PBS yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin, selain calon Bebas termasuk bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah.

Dua lagi calon Bebas ialah bekas pengurus operasi syarikat ladang kelapa sawit, Chia Siew Yung, dan bekas pembantu tadbir di Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat.

Pengumuman rasmi calon bertanding dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain, pada jam 10.30 pagi tadi dengan tiada borang pencalonan ditolak.

PRK Parlimen Sandakan diadakan susulan kematian Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada PRU-14, mendiang Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo.

Terdahulu, Shir Yee tiba di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Sandakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua pada jam 9.10 pagi dengan turut diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; veteran DAP, Lim Kit Siang; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Thau Lin yang tiba lebih awal pada jam 8.25 pagi pula diiringi Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *