WARISAN, PH dan UPKO beri sokongan padu bantu kemenangan Shir Yee

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) menyerahkan watikah pelantikan sebagai calon kepada Vivian Wong Shir Yee (dua dari kiri) selepas diumumkan sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan pada majlis pengumumannya hari ini. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akan memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan calon daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan tidak mengambil ringan PRK itu, sebaliknya akan bekerja keras untuk membantu kejayaan Vivian Wong Shir Yee, 30.

Beliau juga yakin Shir Yee mampu mengekalkan kerusi itu dan menggunakan lambang seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan kemenangan mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Kita juga yakin pengundi tahu (memilih) calon bersesuaian untuk kemajuan daerah ini.

“Vivian seorang calon muda, memiliki kelulusan dalam bidang komunikasi dan tahu (masalah rakyat) kerana (sebelum ini) mengikut mendiang ayah beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Bersama Rakyat dan Pengumuman Khas Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Dewan Masyarakat, di sini, hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani isu bantuan kepada rakyat pula, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri mahu mereka menikmati manfaat lebih besar dalam jangka panjang dengan melaksanakan projek secara terperinci.

Berbanding bantuan yang hanya mampu mengatasi masalah jangka pendek, beliau berkata, kerajaan perlu mengubah pendekatan dengan mementingkan pembangunan prasarana jauh lebih penting.

“Hari ini, yang penting ialah memberi keutamaan kepada prasarana diperlukan, (contohnya) apabila ada jalan raya lengkap, kita boleh memasarkan produk, dan apabila lebuh raya dilaksanakan, harga tanah kemungkinan meningkat.

“Cuma pendekatan kita di Sabah (adalah) bincang secara terperinci dan tidak mahu pelaksanaan prasarana sama ada bekalan elektrik, air mahupun bantuan kecil, tiada fokus keutamaan,” katanya. – Berita Harian

145