Rakyat Sabah perlu sokong kerajaan – Guan Eng

SANDAKAN: Rakyat Sabah perlu menyokong kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mahu memastikan status serta hak mereka dapat dikembalikan.

Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata inisiatif Kerajaan Persekutuan, termasuk melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan berhubung baki projek itu, dapat dijadikan model ke arah usaha berkenaan.

Beliau berkata, selama ini amalan pentadbiran Barisan Nasional (BN) menetapkan sebarang projek untuk Sabah dilaksanakan agensi atau kontraktor mereka, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu membuat perubahan dengan membatalkan kontrak Rakan Pelaksana Projek (PDP).

“Bila sebut boleh diputuskan Kerajaan Sabah sama ada secara bersama atau mereka mempunyai pandangan lebih besar, itu belum biasa kerana belum diamalkan.

“Kita mahu menyelaraskan pendekatan seperti yang dijanjikan pada pilihan raya lalu. Selepas itu, kita boleh bercakap mengenai perkara lain,” katanya pada sidang media selepas sesi bersama rakyat di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, usaha kerajaan PH untuk memulihkan status dan kedudukan Sabah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun digagalkan oleh pembangkang.

“Oleh itu, kita meminta rakyat Sabah jangan sokong parti pembangkang yang hendak membelakangkan usaha mengembalikan status negeri ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Khairy Jamaluddin bahawa dua daripada 49 projek diumumkan Guan Eng untuk Sandakan adalah projek diluluskan oleh BN pula, beliau berkata, ia menunjukkan Ahli Parlimen Rembau itu hilang modal politik.

Beliau berkata, apa yang penting ialah kerajaan PH mahu memastikan projek berkenaan dilaksanakan secepat mungkin seperti yang diharapkan rakyat. – Berita Harian

239