Masalah Rakyat Keutamaan Saya, Berikan Saya Masa – Shafie Apdal

OSANDAKAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata beliau sedang bekerja keras membangunkan Sabah seperti yang telah dijanjikan dalam kempen pilihan raya umum lalu.

Ketua Menteri berkata, sejak memerintah selama hampir 10 bulan, beliau tidak pernah berhenti memikirkan masalah-masalah rakyat yang terabai selama diperintah oleh Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain selama lebih 50 tahun.

Menurut beliau, masalah tersebut bagaimanapun tidak boleh diselesaikan dalam tempoh setahun, justeru menyeru rakyat Sabah agar menaruh kepercayaan dan memberikan tempoh kepadanya untuk memperbaiki sistem yang telah rosak.

“Saya ada di sini bersama anda semua, saya memohon maaf kerana hendak mengatasi masalah selama 50 tahun bukan boleh diselesaikan setahun, tetapi saya akan usaha menyelesaikan masalah tuan-tuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan calon DAP yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei depan.

Mengulas tentang Sandakan, beliau berkata, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan akan dibangunkan sebagai pusat perabot bagi menjana ekonomi daerah dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.

Beliau bertekad bahawa Sandakan tidak akan sesekali diabaikan dalam pentadbiran kerajaan, malah setiap keluhan rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup akan terus dibela.

“Saya tahu rakyat amat memerlukan bantuan dan kerajaan mengalami pula mengalami kekangan kewangan kerana pelbagai masalah tetapi saya berjanji soal pembangunan tidak sama sekali diabaikan.

“Kalau rakyat perlukan infrastruktur kerajaan akan utamakan, kita mahu supaya daerah ini kembali pesat seperti era tahun 1980-an,” jelas beliau.

Menurut Mohd. Shafie, sejak memerintah antara fokus utamanya adalah memperkasakan kembali Yayasan Sabah yang merupakan tunjang kepada pembangunan Sabah terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Tegasnya, semasa ditubuhkan, Yayasan Sabah memiliki sejuta hektar tanah, namun kebanyakkannya telah dijual atau diserahkan kepada kontraktor kroni kerajaan sebelum ini menyebabkan rakyat menderita kerana kekurangan bantuan daripada agensi itu.

“Saya sudah hentikan amalan pemberian tanah kepada kroni atau penjualan balak dan pengurusan balak diuruskan sepenuhnya oleh Yaysan Sabah supaya boleh jana duit.

“Dengan duit yang ada ini, Yayasan Sabah akan bantu rakyat, kalau pemimpin yang kaya mereka beli kereta banyak, kalau Yayasan Sabah yang kaya duit itu boleh bantu rakyat lebih banyak,” tambahnya. – BorneoToday

147