Penjaga zoo parah diserang harimau

HARIMAU Sumatera di Zoo Topeka. FOTO/AGENSI

KANSAS: Seorang penjaga zoo wanita parah selepas diserang harimau Sumatera sebelum haiwan terbabit ditenteramkan oleh pekerja lain dalam kejadian di Zoo Topeka, Kansas, Amerika Syarikat, semalam.

Mangsa yang cedera pada bahagian kepala dan leher itu masih sedarkan diri ketika dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, kata jurucakap bandar Topeka, Molly Hadfield.

Pengarah zoo, Brendan Wiley dalam sidang media berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga penjaga utama haiwan itu, berada di dalam kandang harimau.

Katanya, harimau berusia tujuh tahun dikenali dengan nama Sanjiv itu masuk ke kawasan kandang dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Terdapat kesilapan yang berlaku di sini. Siasatan masih dilakukan. Beberapa pekerja melihat satu kejadian yang anda tidak mahu alami dalam kerjaya ini,” katanya.

Wiley berkata, kejadian turut disaksikan pengunjung lain sebelum beberapa pekerja memujuk harimau itu kira-kira 10 minit kemudian dengan menggunakan makanan sebagai umpan untuk masuk ke tempat kurungan semula. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *