Sulawesi Selatan buat pengundian semula

GAMBAR yang dirakam pada 18 April ini menunjukkan petugas membawa kotak undi menggunakan bot selepas banjir melanda Bandung di Jawa Barat, Indonesia. – EPA

MAKASSAR: Sebanyak 46 pusat pengundian di Sulawesi Selatan akan mengadakan pengundian semula selepas terdapat laporan mengenai beberapa kesalahan dan pelanggaran peraturan ketika Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 17 April lalu.

Indonesiainside.id melaporkan, pengundian semula itu harus dilakukan sebelum 27 April ini atau 10 hari selepas hari pengundian.

Ketua Badan Pemantau Pemilu Sulawesi Selatan, Laode Arumahi berkata, pengundian semula itu harus dilakukan kerana terdapat beberapa kesalahan pilihan raya seperti ada penduduk yang mengundi tetapi nama tiada dalam senarai daftar pemilih dan ada yang tidak memiliki kad pengenalan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) memberitahu, kiraan undi boleh mengambil masa sehingga sebulan sebelum keputusan rasmi diumumkan, sekali gus menjadikan suasana beberapa minggu ini agak tegang.

Ketua KPU, Arief Budiman berkata, proses pengiraan mungkin mengambil masa sehingga 35 hari untuk melengkapkan kiraan pada pemilihan presiden dan calon perundangan yang diadakan serentak oleh negara itu buat pertama kali dalam sejarah.

“Kiraan sebenar dilakukan secara berperingkat mencakupi pusat mengundi seluruh negara sebelum dihimpunkan di peringkat nasional,” katanya.

Menurutnya, KPU diberi tempoh maksimum 35 hari untuk membuat kiraan namun dia tidak menolak kemungkinan ia mampu dihabiskan lebih awal.

Lebih daripada 192 juta rakyat Indonesia yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, menjadikan ia pilihan raya sehari terbesar di dunia. – Agensi

130