Mexico City: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dilarikan daripada ibunya ketika melawat saudara sakit di hospital dan dijual kepada sepasang suami isteri yang cuma membayar AS$160 (RM661) serta jam emas.
Dalam kejadian minggu lalu, María Magdalena Sánchez terpaksa meninggalkan bayinya Nancy di luar ketika melawat adik perempuannya yang sakit, kerana dianggap berbahaya memandangkan kanak-kanak itu terlalu kecil.
María meninggalkan Nancy bersama anak saudara, Emiliano, 15, serta Jenni, enam, di luar hospital berkenaan di Cuauhtémoc.
Nancy bagaimanapun mula menangis menyebabkan Emliliano cuba menenangkannya sebelum pada masa sama Jenni berkata, dia mahu ke tandas.
Rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) menunjukkan Emiliano meninggalkan bayi berkenaan dengan seorang wanita yang duduk menunggu bersama mereka.
Wanita itu bagaimanapun melarikan bayi berkenaan apabila dua beradik terbabit beredar dari situ. Dalam keterangannya kepada polis, Emiliano mendakwa wanita itu memberinya AS$5 (RM20) bagi membeli makanan untuknya dan Jenni.
Usaha mencari Nancy dilakukan besar-besaran membabitkan polis serta rakan dan keluarga mangsa yang turut mengedarkan gambar bayi itu sehingga sepasang suami isteri tampil menyerah diri.
Pasangan berusia 36 tahun itu berkata, mereka dihampiri seorang wanita yang menawarkan Nancy untuk AS$160 dan jam emas.
Nancy dipulangkan kepada María pada pagi Jumaat. – Agensi