Penunggang Motosikal Cedera Parah Dirempuh Myvi

Motosikal jenis Honda Wave yang terbabit dalam kemalangan di Ladang Brumas Sabah Softwoods. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang penunggang motosikal koma akibat cedera parah dalam kemalangan jalan raya di Ladang Brumas Sabah Softwoods, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun dari arah harapan semasa dalam perjalanan menuju ke perumahan pekerja ladang terbabit.

Pemangku Ketua Polis Tawau, Norazizulkifli Mansor berkata mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Rafie Sapie, 30, masih tidak sedarkan diri akibat patah tulang paha kanan dan kiri, tulang tangan kanan, bahagian tulang muka serta pendarahan di bahagian paru-paru kiri.

Perodua Myvi yang dipercayai merempuh sebuah motosikal dalam kemalangan di Ladang Brumas Sabah Softwoods. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Ketika tiba di selekoh dan menuruni bukit, tiba-tiba wanita yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi sedang dalam perjalanan dari Ladang Brumas menuju ke bandar Tawau menjadi panik apabila melihat motosikal ditunggang mangsa dan rakannya dari arah hadapan.

“Pemandu wanita itu lalu memijak pedal minyak hingga menyebabkan kenderaannya merempuh mangsa. Bagaimanapun, rakannya sempat mengelak daripada dilanggar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazizulkifli berkata mangsa parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut manakala dua penumpang kenderaan Myvi tersebut cedera ringan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday

239