Petugas pilihan raya keguguran kerana penat

SRI Utami dirawat di hospital setelah keguguran. FOTO Kompas

KENDARI: Seorang pegawai jawatankuasa pusat pengundian (KPPS) wanita keguguran akibat terlalu penat bertugas selama dua hari berturut-turut di, Konawe, Sulawesi Tenggara.

Sri Utami, 30, yang hamil dua bulan mula mengalami pendarahan sekitar jam 6 petang, pada 17 April lalu.

Suaminya, Muhammad Agus, 32, memberitahu Kompas.com isterinya kepenatan kerana bertugas sehingga pagi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu turut mengakui tidak mengetahui tugas isterinya terlalu banyak.

“Kalau saya tahu tugasnya begitu banyak, saya pasti akan melarang dia dari bekerja.

“Isteri mula turun darah pada 17 April lalu, namun dia tetap meneruskan kerjanya kerana terlampau sibuk,” katanya.

Menurut Agus, isterinya keguguran selepas darah keluar dengan banyak ketika sampai di rumah kira-kira jam 6 pagi keesokan hari.

Katanya, Sri masih mendapatkan rawatan di hospital sejak 19 April lalu. – Agensi

109