Remaja ditahan disyaki cuba seludup lebih 1,000kg gula

BOT jongkong dikendalikan remaja 18 tahun ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki menyeludup lebih 1 tan gula pasir bersubsidi. – Foto Ihsan Maritim Malaysia.

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang remaja disyaki cuba menyeludup keluar lebih 1,000 kilogram (kg) gula pasir, di sini, kelmarin.

Lelaki tempatan berumur 18 tahun itu ditahan anggota Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur, selepas mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Pulau Sebatik, pada jam 5.15 petang.

Foto Ihsan Maritim Malaysia.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata pemeriksaan awal mendapati bot jongkong itu sarat dengan pelbagai muatan barangan runcit, termasuk gula bersubsidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan gula bersubsidi terbabit.

BOT jongkong dikendalikan remaja 18 tahun ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki menyeludup lebih 1 tan gula pasir bersubsidi. – Foto Ihsan Maritim Malaysia.

“Kita percaya barangan bersubsidi itu cuba diseludup keluar melalui Pulau Sebatik untuk dipasarkan atau dijual di Indonesia.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, nilai keseluruhan rampasan, termasuk bot jongkong bersama enjin sangkut, dianggarkan hampir RM50,000 dan semua barangan itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi membanteras dan mengurangkan pelanggaran undang-undang.

“Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku jenayah maritim melalui Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau Malaysian Emergency Response System (MERS 999),” katanya. – Berita Harian

BOT jongkong dikendalikan remaja 18 tahun ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki menyeludup lebih 1 tan gula pasir bersubsidi. – Foto Ihsan Maritim Malaysia.
100