UMNO tidak bertanding PRK Parlimen Sandakan

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KUALA TERENGGANU: UMNO Sabah mengesahkan tidak akan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata walaupun tidak meletakkan calon untuk bertanding, parti membuat keputusan sedia membantu calon daripada blok pembangkang, termasuk PAS yang bercadang bertanding.

Katanya, keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Parlimen Sabah bukan bermakna UMNO Sabah tidak mempunyai pemimpin berwibawa atau bimbang tewas, tetapi kepimpinan tertinggi parti peringkat pusat bersetuju memberi peluang kepada parti daripada blok pembangkang, termasuk PAS.

“UMNO Sabah bersedia menggerakkan jentera bagi membantu calon daripada blok parti pembangkang termasuk calon PAS bertanding,’ katanya kepada BH melalui WhatsApp, hari ini.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian manakala 7 Mei sebagai hari penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt daripada DAP menang dengan majoriti 10,098 apabila memperoleh 19,094 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

Sabtu lalu, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, dilaporkan berkata parti itu bercadang untuk meletakkan calon bertanding pada PRK Parlimen Sandakan.

PAS pusat dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini untuk membuat keputusan sama ada meletakkan calon atau tidak, seperti dicadangkan Mohd Aminuddin.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata kepimpinan tertinggi UMNO dan pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat serta negeri bersedia menggerakkan jentera untuk membantu calon PAS memenangi kerusi Sandakan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *