Kerajaan terus berusaha tingkat taraf hidup, basmi kemiskinan di Sabah

GAMBAR BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 April – Kerajaan terus berusaha untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat di Sabah khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus membasmi masalah kemiskinan di negeri ini, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai program pembangunan sosioekonomi akan terus dilaksanakan melalui program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Agropolitan dan sebagainya.

“Kerajaan juga akan meneruskan Program Kampung Sejahtera (PKS) untuk membangunkan kampung-kampung yang memerlukan pembangunan secara holistik merangkumi modal insan, sosioekonomi dan infrastruktur asas.

“Tahun ini, kerajaan juga telah menetapkan sasaran untuk melibatkan seramai 2,500 ketua isi rumah dalam program MESEJ dengan tambahan satu program baharu berkaitan dengan aktiviti pelancongan luar bandar melalui pelancongan berasaskan komuniti di kampung-kampung terpilih,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga telah merancang untuk membina 1,000 buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan 10 pusat komuniti setiap tahun sehingga 2023 untuk kemudahan masyarakat luar bandar di negeri ini.

“Pada masa yang sama, kursus dan latihan kemahiran akan diberikan kepada masyarakat di luar bandar untuk melahirkan lebih ramai usahawan desa di negeri ini. Tumpuan utama kerajaan adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar,” tambahnya.

— BERNAMA

130