9 ADUN BERSATU ‘mesra kerajaan’

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali. – Arkib NSTP

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dikategorikan sebagai ADUN ‘mesra kerajaan’.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata sembilan ADUN terbabit yang diketuai Adun Sulaman, Datuk Hajiji Noor, bukan sebahagian daripada blok pembangkang.

“Parti itu (BERSATU), di Semenanjung ialah sebahagian daripada kerajaan tetapi di Sabah, sekarang ini mereka tiada wakil dalam Kabinet. Mereka kita anggap sebagai mesra kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan DUN Sabah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Selain Hajiji, ADUN lain yang menyertai BERSATU ialah Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), selain bekas pemimpin Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Bobbey Suan (Nabawan).

Berikutan penyertaan ke dalam BERSATU, pembangkang dalam DUN Sabah kini hanya tinggal sembilan orang, iaitu masing-masing lima daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (tiga) dan seorang daripada UMNO iaitu Tan Sri Musa Aman (Sungai Sibuga).

Mengenai kedudukan Musa, Syed Abas berkata seseorang wakil rakyat perlu menghadiri sekurang-kurangnya sekali sidang DUN dalam setahun bagi mengekalkan kerusi yang diduduki.

Musa mengangkat sumpah sebagai ADUN pada 5 September tahun lalu, namun belum pernah hadir persidangan DUN, difahamkan atas alasan kesihatan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *