Jangan Rebut Jawatan Hingga Abai Kepentigan Parti Warisan – Shafie

SEMPORNA: Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengajak semua ahli Warisan untuk bersatu padu dalam memperkuatkan parti berkenaan.

Beliau berkata, ahli-ahli Warisan seluruh Sabah diharap dapat bersatu padu untuk memperbesarkan dan memperkuatkan parti dengan menerapkan nilai dan amalan yang membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat.

””Kita perlu belajar dari kesilapan parti-parti terdahulu. Jangan banyakkan berebut jawatan tetapi banyakkan berkhidmat kepada rakyat.

”Kita sebuah parti baru, bukan (parti) lama. Kalau parti lama yang telah berbakti pun boleh ditumbangkan apatah lagi parti baru. Jika kita paparkan nilai yang buruk dengan adanya perbalahan dan perpecahan, saya percaya orang tidak akan berminat menyertai parti kita, orang akan menolak parti ini.

”Bagaimana orang mahu masuk (Warisan) jika tiada kesatuan dan perpaduan untuk memperkuatkan dan memperjuangkan hak rakyat. Maka, kita perlu banyakkan berkhidmat kepada rakyat dan sekiranya itu jadi pegangan kita, saya yakin kita boleh menjayakan agenda kita,” katanya ketika ditanya tentang proses pemilihan perwakilan Warisan peringkat bahagian, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Sabah Bahagian Semporna.

Mengenai pemilihan parti peringkat bahagian, Mohd Shafie berkata, hari ini (Ahad) adalah hari terakhir bagi pemilihan parti peringkat bahagian dan semua pemilihan untuk semua 10 bahagian berjalan lancar. Ini akan diikuti dengan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan akan diadakan pada awal Mei di Kota Kinabalu.

Menurutnya, dalam amalan demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding untuk memegang jawatan namun ia perlu dibimbing dengan baik agar pada akhirnya tidak wujud perbalahan dan perpecahan.

”Dalam proses pemilihan, mereka yang menang akan merasa gembira dan yang kalah pula akan merasa kecewa. Mereka yang kalah jangan sampai keluar dan merajuk dengan parti. Mungkin ada yang merajuk tetapi kekal dalam parti namun, apabila tiba pilihan raya mereka tidak mengundi parti. Ini peringatan buat kita,” jelasnya. – BorneoToday

113