KOTA BELUD: Kegembiraan sekumpulan pelajar Politeknik Kota Kinabalu ketika berkhemah di Kampung (Kg) Nahaba bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan mati lemas ketika bermandi-manda.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superitendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes lemas itu daripada Hospital Kota Belud pada 5.36 petang Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa, Asrul Hanna,18, yang berasal dari Tawau bersama 19 rakannya menyertai rombongan perkhemahan di Eko Pelancongan Kalangadanku, Kg Nahaba tiba di tapak perkhemahan pada 1 petang. Kesemua pelajar itu merancang perkhemahan sendiri setelah mendapat kebenaran penasihat akademik Politeknik Kota Kinabalu.
“Pada 2 petang, semua 16 pelajar lelaki termasuk mangsa turun ke sungai untuk mandi-manda. Kira-kira 45 minit kemudian, kesemua mereka naik semula ke darat untuk berehat.
“Namun, saksi tempat kejadian, iaitu rakan mangsa Nard Cylasto Christopher mendapati mangsa tiada bersama mereka. Kemudian, Nard bersama seorang lagi rakan terjun semula ke sungai bagi mencari mangsa. Mereka mendapati mangsa telah lemas di kawasan yang berkedalaman kira-kira tujuh kaki,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.
Menurutnya, rakan mangsa kemudian membawa mangsa naik ke darat dan menghubungi Hospital Kota Belud.
Pasukan perubatan tiba di tempat kejadian pada 4.30 petang dan mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulan.
Apabila bantuan CPR diberikan ketika dalam perjalanan, mangsa yang berasal dari Kg Bombalai Tawau itu didapati sudah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya. – BorneoToday