Shafie Apdal Jumpa Guan Eng Bincang PRK Sandakan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan bermesyuarat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng esok untuk membincangkan calon sesuai dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, DAP akan membuat keputusan tentang kerusi tersebut manakala Warisan dan sekutunya yang lain akan membantu memastikan kemenangan dipertahankan.

“Perbincangan saya dengannya adalah untuk persediaan dan memastikan jentera kami bersedia untuk PRK,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Warisan Bahagian Semporna hari ini.

Mohd. Shafie berkata, DAP tidak mempunyai masalah mempertahankan kerusi berkenaan jika semua jentera bekerjasama dan bersatu.

Sementara itu, mengenai perkembangan politik Sabah, Ketua Menteri berkata, Warisan akan meneruskan kerjasama yang telah pun terjalin dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami telah bekerja di peringkat Persekutuan. Kami ada menteri Persekutuan dan akan memastikan kerjasama ini berjaya,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus tentang kerjasama dengan Bersatu Sabah.

Semalam, Bersatu Sabah dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dikatakan telah menerima 120,076 borang keahlian rakyat Sabah.

Sebelum ini, Warisan dan parti sekutunya di Sabah telah meminta Bersatu agar berpegang kepada janjinya sebelum pilihan raya umum lalu untuk tidak masuk ke Sabah.

Dr. Mahathir ketika pelancaran bagaimanapun berjanji Bersatu akan menyokong Warisan bukannya untuk mengguling kerajaan serta tidak akan meminta apa-apa jawatan.

Pelancaran itu hanya dihadiri Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew manakala pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah yang lain serta Warisan tidak datang.

Mohd. Shafie bagaimanapun telah menyambut ketibaan Dr. Mahathir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum itu dan kedua-dua pihak melakukan sedikit perbincangan.

Antara yang dilihat hadir ialah pembangkang Sabah seperti Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *