DAP teruskan perjuangan Tien Fatt

Guan Eng bersama Gobind memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tien Fatt di Fook Lu Siew Funeral Parlour, di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: DAP akan meneruskan perjuangan mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, khususnya dalam mengembalikan hak rakyat Sabah seperti yang sering disuarakan beliau sepanjang menjadi Pengerusi DAP Sabah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata, Tien Fatt, 65 yang meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam sentiasa komited dalam perjuangannya dan tidak mahu terlepas untuk mengundi usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung.

Beliau berkata, usul itu yang dijadual dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini dipersetujui kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ia sangat ditunggu-tunggu mendiang Tien Fatt.

“Kami kehilangan bukan saja pemimpin DAP tetapi saya yakin Sabah juga kehilangan pemimpin yang banyak berbakti kepada rakyat.

“Dia seorang yang nak mempertahankan hak Sabah dan pada masa sama mahu mempromosi integrasi Sabah dalam Malaysia sebagai sebuah negara di mana hak rakyat Sabah dihormati.

“Itulah sebabnya dia menunggu-nunggu untuk membuang undi atas pindaan Perlembagaan yang dicadangkan kerajaan PH (tetapi) tertakluk kepada sokongan kerajaan Sarawak kerana hanya sokongan mereka masih ditunggu,” katanya.

“Sekiranya dapat sokongan dari Ahli Parlimen Sarawak, barulah kita boleh dapat majoriti dua pertiga untuk meluluskan pindaan Perlembagaan. Jika Sarawak setuju maka beliau (Tien Fatt) tunggu untuk buang undi supaya kita dapat pulihkan kedudukan dan status Sabah sebagai satu daripada tiga entiti yang menubuhkan Persekutuan Malaysia.

“Malangnya, beliau telah pergi dan tidak dapat lihat status Sabah dan Sarawak dipulihkan,” katanya pada sidang media selepas menziarahi jenazah mendiang Tien Fatt di Fook Lu Siew Funeral Parlour, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi DAP yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan pemimpin DAP Sabah diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, kini menjadi tugas pemimpin DAP yang lain khususnya di Sabah untuk membantu menyempurnakan perjuangan Tien Fatt.

Mendiang Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Ahli Parlimen Sandakan sepatutnya mengambil bahagian dalam perbahasan usul pindaan Perlembagaan itu yang dijadualkan pada 8 April ini.

Terdahulu, Setiausaha Politik mendiang, Phoong Jin Zhe memberitahu media Tien Fatt berulang kali mengingatkannya untuk menyiapkan ucapan perbahasannya mengenai usul berkenaan, namun tidak sempat disempurnakan. – Berita Harian

Guan Eng bersama Gobind memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tien Fatt di Fook Lu Siew Funeral Parlour, di Kota Kinabalu
19