7 Produk Ubat darah Tinggi Diarah Tarik Balik, Punca Kanser Dalam Jangka Masa Panjang – KKM

PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) menggantung pendaftaran tujuh produk ubatan mengandungi bahan aktif losartan yang dikesan boleh menyebabkan kanser, bermula 7 Mac lalu.

Tujuh produk itu ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg), LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg), Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Selain itu, turut digantung pendaftaran ialah produkTOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide), Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, semua syarikat berkenaan sudah diarahkan untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran tempatan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Pada masa ini, produk berkenaan sudah dikeluarkan dari pasaran Malaysia kerana dikesan mengandungi losartan dengan sumber bahan aktif Hetero Labs Limited, India yang digantung status pendaftaran di Malaysia pada 7 Mac lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, tindakan tegas itu diambil selepas Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Labs Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso-Nmethyl-4-aminobutyric acid (NMBA)

“Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Tablet losartan adalah ubat yang digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi,” katanya.

Kementerian Kesihatan menasihati pengguna supaya menggunakan produk kesihatan berdaftar dengan PKBD dan semakan status pendaftaran sesuatu produk kesihatan boleh dibuat melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *