Perintah Berkurung Di ESSZONE Dilanjutkan Hingga 11 April

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU, 26 Mac – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 11 April ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Omar berkata perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat di kawasan daratan Esszone.

Katanya perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

— BERNAMA

130