Sabah fokus pembangunan seiring perpaduan rakyat – Christina Liew

TENOM, 26 Mac – Kerajaan Sabah akan memberi fokus memastikan pembangunan dikecapi adalah seiring dengan perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Beliau berkata kesepaduan rakyat adalah antara elemen penting dalam membina Sabah lebih progresif selain memudahkan kerajaan merancang pembangunan serta melaksanakan dasar demi manfaat penduduk secara keseluruhannya.

“Tanpa perpaduan dan persefahaman jitu, rakyat (dikhuatiri) akan mudah dieksploitasi oleh anasir luar yang mahu melihat perpecahan dalam kalangan rakyat. Justeru, saya menggesa semua lapisan masyarakat di Sabah supaya menjadikan perpaduan sebagai agenda utama.

“Kerajaan juga akan terus berusaha menyatupadukan rakyat dan memperkasa keharmonian semua bangsa ke arah mewujudkan sebuah negara aman dan maju, di samping memastikan nasib semua rakyat terbela,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kalimaran 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony. Kira-kira 5,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa hadir ke acara itu.

Liew berkata Pusat Kebudayaan Murut dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Sabah kini sedang melaksanakan kajian inventori mengenai etnik Murut bagi meneroka lebih banyak keunikan dan keistimewaan nilai budaya suku kaum itu, dan diharapkan hasil kajian berkenaan dapat diterbitkan pada hujung tahun ini.

Kajian tersebut bertujuan memulihara dan mengembangkan nilai estetika budaya etnik Murut supaya terus relevan serta dikenali oleh generasi muda, katanya.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata kementeriannya akan terus mempromosi lokasi menarik yang terdapat di negeri ini khususnya di Tenom yang mempunyai tarikan sebagai destinasi pelancongan.

Sementara itu, Peter ketika berucap berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi membaiki kemudahan infrastruktur Pusat Kebudayaan Murut berikutan beberapa struktur bangunan itu mengalami kerosakan yang menyebabkan ia pernah ditutup untuk para pengunjung.

Beliau berkata pusat itu turut memerlukan sebuah pentas terbuka lebih luas dan selesa bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai.

Dalam pada itu, Peter yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Kalimaran Peringkat Negeri 2019 mencadangkan pesta berkenaan diadakan pada 31 Mac setiap tahun sebagai antara mekanisme mengiktiraf Pesta Kalimaran sebagai pesta peringkat negeri.

“Pesta Kalimaran mengajak semua masyarakat bersatu hati untuk mencapai matlamat hidup. Masyarakat Murut mengamalkan gotong-royong serta saling membantu antara satu sama lain dan amalan ini masih diteruskan sehingga kini…nilai inilah menjadi antara faktor masyarakat Murut menyambut pesta ini,” katanya.

— BERNAMA

12